Luka Modric berpandangan jaringan minit akhir Sergio Ramos ketika Real Madrid menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) mengatasi Atletico Madrid pada 2014 mungkin telah mengubah sejarah bola sepak Eropah.

Real ketinggalan kepada jaringan pembukaan Diego Godin sebelum Ramos berjaya meledak jaringan penyamaan pada minit ke-93 di Estadio da Luz untuk melanjutkan permainan ke masa tambahan.

Gareth Bale meletakkan skuad kendalian Carlo Ancelotti itu mendahului sebelum jaringan tambahan Marcelo dan Cristiano Ronaldo melengkapkan kemenangan 4-1 di Lisbon.

Ia merupakan trofi UCL yang ke-10 buat Real -- dikenali sebagai 'La Decima' -- tetapi yang pertama dalam tempoh 12 tahun.

Gergasi Sepanyol itu menambah tiga lagi gelaran UCL tetapi Modric berpandangan setiap kejayaan yang diperoleh bermula dengan jaringan Ramos itu.

"Sukar untuk membuat penilaian. Saya tidak tahu," katanya kepada Club del Deportista. "Mungkin jaringan Ramos telah mengubah sejarah bola sepak Eropah. Real Madrid sudah menjuarai banyak gelaran tetapi mereka telah lama tidak menjulang UCL.

"Jaringan itu mengubah sesuatu, mentaliti pasukan juga berubah. Bermula saat itu, kami bermula dengan baik di Eropah dan pasukan mula gerun berdepan kami. Ia menunjukkan betapa pentingnya mentaliti dalam bola sepak.

"Ramai yang bercakap mengenai 12 tahun Real tanpa gelaran Eropah. Jose Mourinho memimpin Real beraksi dalam tiga aksi separuh akhir, namun gagal mengatasi halangan terakhir.

"Apabila kami ke final dan memenanginya menerusi jaringan tersebut, ia masih lagi membuat saya meremang bulu roma dan membuktikan bahawa kami memiliki perwatakan yang kuat dan tidak mudah berputus asa," katanya.

Modric memecah dominasi Ronaldo dan Lionel Messi dalam penguasaan gelaran Ballon d'Or dengan memenanginya pada 2018.

Ia merupakan tahun yang harus diingatinya selepas berjaya membantu Real menjuarai UCL buat kali ketiga berturut-turut dan melangkah ke final Piala Dunia sebelum Croatia tewas kepada Perancis.

"Anugerah itu adalah tanda penghargaan bagi sepanjang karier saya dan tahun 2018 merupakan yang paling istimewa.

"Saya sangat bertuah kerana menjuarai UCL sekali lagi dan melangkah ke final Piala Dunia bersama Croatia, sesuatu yang sukar untuk diluahkan dengan kata-kata.

"Saya tidak gemar bercakap mengenai diri saya. Saya telah bermain dengan baik sepanjang musim dan individu yang terlibat dalam undian anugerah tersebut memilih saya. Ia bukan satu kebetulan."