VIETNAM 1 MALAYSIA 0

Aksi longlai serta gagal mengimbangi permainan keras tuan rumah menyaksikan Harimau Malaya terpaksa menelan kepahitan kekalahan kali kedua dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 susulan tewas 1-0 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, sebentar tadi.


Gol daripada Nguyen Quang Hai dalam babak pertama cukup untuk memastikan Malaysia terlepas peluang menduduki tangga teratas Kumpulan G, sekurang-kurangnya buat sementara tatkala penyerang berusia 22 tahun itu meraih jaringan keenam di pentas antarabangsa.

Malaysia mengekalkan kesebelasan utama ketika tewas 2-1 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi terdahulu kecuali kelibat tonggak tengah Selangor, Halim Saari, yang menggantikan Nor Azam Azih susulan kecederaan serta Aidil Zafuan Abdul Radzak mengisi tempat Adam Nor Azlin.

Gandingan Aidil di bek tengah, Shahrul Saad, muncul pemain pertama dilayangkan kad kuning di Hanoi selepas menggunakan tangan ketika cuba menyudahkan bola hasil sepakan sudut Safawi Rasid walaupun pertahanan Perak itu mendakwa dia ditarik pemain tuan rumah.

Malaysia terpaksa mengharapkan lontaran ke dalam dari sebelah kiri oleh Corbin Ong memerangkap penjaga gol skuad Naga Emas, Dang Van Lam, sebelum ditepis pemain kelahiran Russia itu selepas percaturan Tan Cheng Hoe menukar posisi Safawi dan Mohamadou Sumareh gagal memberi ancaman buat lawan.

Tenang menyerap asakan awal skuad negara, tuan rumah yang turun buat kali pertama di gelanggang sendiri dalam kempen kali ini jelas mula mengatur gerakan bahaya selepas 20 minit permainan tatkala Perdana Menterinya, Nguyen Xuan Phuc, turut hadir memberikan sokongan.

Setelah ledakan gol yang dihasilkan Quang Hai pada minit ke-30 dinafikan pengadil yang mendapati dia berada dalam posisi ofsaid, penyerang Hanoi FC itu menebus kehampaan untuk menceriakan penyokong tuan rumah susulan jaringan yang dihasilkan ketika babak pertama berbaki lima minit.

Ternyata corak permainan hantaran jauh yang diamalkan sejak awal permainan oleh Vietnam kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang Seo, itu memerangkap Shahrul yang teragak-agak untuk menghalang Quang Hai yang tenang menyambut bola daripada kapten, Que Ngoc Hai, sebelum melepaskan tendangan kaki kiri menewaskan Farizal Marlias dan cukup untuk memisahkan kedua-dua pasukan sebelum rehat.

Meskipun ketinggalan, Malaysia cuba memperlahankan rentak permainan dalam separuh masa kedua walaupun membawa masuk pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid, menggantikan Norshahrul Idlan Talaha yang bergelut untuk menembusi benteng lawan yang diketuai Ngoc Hai.

Tiga sepakan percuma diraih tuan rumah menyaksikan peluang itu disia-siakan untuk menambah kelebihan tatkala dua daripadanya sekadar tinggi melewati palang gol sambil anak buah Cheng Hoe terus bergelut dengan hantaran yang kerap gagal disudahkan dengan kawalan yang baik.

Cemas pintu gol kawalan Farizal pada minit ke-71 tatkala penjaga gol JDT itu sudah tertewas apabila Shahrul menyelamatkan bola rembatan pemain gantian, Nguyen Anh Duc, di depan gawang terbuka selepas penyerang veteran berusia 33 tahun itu menyambung usaha larian deras Nguyen Trong Hoang dari sebelah kanan.

Tempoh 10 minit terakhir menyaksikan Harimau Malaya cuba melajukan tempo serangan tetapi aksi permainan keras yang ditampilkan tuan rumah ketika bertahan menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk melakar kemenangan di Stadium Nasional My Dinh sejak kali terakhir melakukannya pada Disember 2014.

Kredit foto: FAMalaysiaOfficial