BRAZIL 2 MEXICO 0

Dua gol hasil sumbangan Neymar dan Roberto Firmino menyaksikan Brazil, yang beraksi di bawah keupayaan sebenar, mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Dunia 2018 selepas menewaskan Mexico 2-0, sebentar tadi.


Skuad kendalian Tite itu masih belum mempamerkan aksi sebenar di Russia 2018 dan dijangka masih mampu menunjukkan permainan lebih baik.

Namun, jaringan Neymar pada minit ke-51 serta tolakan mudah daripada Firmino selepas masuk selaku pemain gantian, mencukupi untuk Brazil meneruskan kemaraan sambil mengelak daripada menerima nasib sama seperti pasukan pilihan lain yang sudah tersingkir seperti Sepanyol, Jerman dan Argentina.
Mexico dilihat mendominasi perlawanan dalam 20 minit pertama di Samara tetapi mereka gagal memanfaatkan setiap peluang yang hadir.

Sebaliknya, lawan yang dilihat lebih banyak menyerap asakan pada awal permainan, mengejutkan pasukan bimbingan Juan Carlos Osorio itu menerusi gol pembukaan oleh Neymar.

Selepas penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa, mempamerkan aksi tangkas untuk menafikan usaha awal daripada Gabriel Jesus dan Philippe Coutinho, Neymar akhirnya memecahkan kebuntuan apabila menyumbat gol peribadi kedua dalam kejohanan sejurus separuh masa kedua bersambung setelah menyempurnakan hantaran lintang kaki kiri oleh Willian.

Kelebihan satu gol yang dimiliki Brazil ditambah oleh Firmino tatkala perlawnan berbaki dua minit apabila penyerang yang menggantikan Coutinho itu menyempurnakan gerakan serangan balas yang berpunca daripada Neymar.

Hanya satu perkara yang mungkin menggusarkan juara dunia lima kali itu selepas Casemiro dilayangkan kad kuning dalam babak kedua, sekali gus menyaksikannya bakal terlepas saingan suku akhir menentang Jepun atau Belgium.

Bagi anak-anak buah Osorio, selepas mencipta sensasi menewaskan Jerman 1-0 dalam aksi pertama peringkat kumpulan, Mexico terpaksa menerima hakikat bahawa mereka tersingkir daripada pusingan kedua kejohanan buat kali ketujuh berturut-turut.