Gol daripada Mario Mandzukic dalam masa tambahan membolehkan Croatia melakukan kebangkitan menakjubkan untuk menewaskan England 2-1 dan melayakkan diri ke final Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.

England meraih permulaan yang diidamkan setelah Kieran Trippier menjaringkan gol pertama sambil hampir sebahagian besar perlawanan dikuasai mereka untuk menempah tiket final pertama sejak 1966 tetapi Croatia kemudian mempamerkan persembahan memukau untuk menjinakkan The Three Lions.

Gareth Southgate secara konsisten tidak mahu anak-anak buahnya menyembunyikan keinginan untuk meneruskan kemaraan sebelum perlawanan dan untuk seketika, England memberi petanda untuk mengubah nasib mereka apabila Trippier menyempurnakan sepakan percuma seawal minit kelima.

Bagaimanapun, Croatia bangkit dan sering mengucar-kacirkan benteng England sejak permulaan babak kedua sebelum akhirnya Ivan Perisic mempamerkan sentuhan mantap untuk menyudahkan peluang pada minit ke-68.

England berjaya mengekang asakan sehingga mengheret perlawanan berlanjutan ke 30 minit seterusnya, menyaksikan kedua-dua pasukan memberikan ancaman ke gawang lawan.

Namun, pasukan bimbingan Zlatko Dalic itu jelas lebih fokus dan Mandzukic menyumbat gol kemenangan pada minit ke-109, sekali gus menyentap impian England untuk terpaksa menunggu empat tahun lagi sambil Croatia menuju ke final berdepan Perancis dan berpeluang cerah menjulang Piala Dunia pertama.

Permulaan England ternyata mengagumkan setelah memaksa benteng Croatia menyekat larian yang dilakukan Dele Alli dan Luka Modric terpaksa menjatuhkan bekas rakan sepasukannya di Tottenham Hotspur itu.

Kesalahan itu menghadiahkan sepakan percuma betul-betul di depan kotak penalti dan Trippier mudah menyempurnakan tendangan bebas yang tepat ke penjuru kanan pintu gol sebelum singgah ke dalam gawang.

Croatia mempamerkan keyakinan yang tinggi pada minit ke-22 apabila tendangan lemah Danijel Subasic telah memberikan bola tepat ke kaki Raheem Sterling yang kemudian melorongkan buat Harry Kane, namun percubaannya hanya meliar.

England terus berpeluang menambah jaringan selepas itu, sekali lagi menerusi Kane yang berpeluang untuk menyumbat gol dari jarak dekat susulan hantaran bijak daripada Alli tetapi malangnya dia ofsaid.

Walaupun lebih banyak memegang bola, pasukan bimbingan Dalic itu dilihat bergelut untuk menyamakan kedudukan selepas separuh masa pertama sambil England dinafikan peluang sepakan penalti ketika perlawanan berusia sejam selepas sentuhan terhadap bola oleh Domagoj Vida menyebabkan Sterling terjatuh.

Akhirnya, usaha Croatia memberikan hasil apabila Perisic bijak menghulurkan kaki untuk menyudahkan hantaran lintang Sime Vrsaljko dengan kaki kirinya.

Serangan seterusnya hampir memberikan pendahuluan buat Croatia apabila Perisic melakukan percubaan daripada sebelah kanan, sebelum tendangan susulan Ante Rebic tepat ke dakapan Jordan Pickford.

Serangan Croatia gagal membuahkan hasil pada lewat permainan dan England terlepas peluang untuk kembali berada di depan ketika awal masa tambahan susulan tandukan John Stones dikeluarkan di atas garisan gol oleh Vrsaljko pada minit ke-98.

Pickford sekali lagi mempamerkan aksi tangkas untuk menafikan percubaan Mandzukic selepas penggempur itu menerima hantaran Perisic.

Bagaimanapun, Mandzukic membuktikan ketajamannya selepas rehat, menyambut bola tandukan Perisic sebelum melepaskan rembatan kaki kiri melepasi Pickford dan membawa Croatia kembali ke Stadium Luzhniki pada Ahad ini selaku finalis.