WOLVES 1 SLOVAN BRATISLAVA 0

Raul Jimenez menjaringkan gol pada minit ke-92 untuk memastikan Wolves menewaskan Slovan Bratislava 1-0 dalam perlawanan Liga Europa di Stadium Molineux awal pagi tadi.


Wakil Liga Perdana Inggeris itu menang 2-1 ketika kedua-dua pasukan bertemu di gelanggang lawan dua minggu lalu, namun kemenangan ketiga berturut-turut mereka dalam saingan Kumpulan K itu hampir disekat oleh kecemerlangan penjaga gol Slovan, Dominik Greif.

Sepakan penalti Ruben Neves dalam babak kedua diselamatkan dan Greif melakukan pelbagai aksi menyelamat gemilang untuk mengecewakan Wolves di gelanggang mereka sendiri.

Namun, dengan tambahan 12 minit dalam masa kecederaan gara-gara kecederaan kepala yang dialami Kenan Bajric, Jiminez menanduk masuk lambungan lintang Adama Traore untuk memastikan pasukannya layak ke pusingan 32.

Slovan hampir memecah kebuntuan pada enam minit pertama apabila Bajric yang tidak dikawal memanfaatkan lambungan Vernon untuk melepaskan voli yang tersasar.

Wolves kemudian kembali mendapat rentak dan berkemungkinan berada di depan jika Grief tidak melakukan tindakan refleks untuk menghalang sepakan Joao Moutinho yang terbias.

Greif kemudian turut cemerlang menafikan percubaan Jimenez sebelum terus mengecewakan Wolves pada enam minit pertama babak kedua dengan menafikan sepakan percuma Neves -- selepas Vasil Bozhikov menjatuhkan Pedro Neto.

Matt Doherty kemudian menjadi seorang lagi pemain Wolves yang dikecewakan Grief selepas melakukan percubaan jarak dekat hasil gerakan menarik dengan Moutinho manakala percubaan jarak jauh Neves tersasar jauh.

Bagaimanapun, dengan 12 minit masa kecederaan yang diberikan selepas Jimenez mencederakan kepala Bajric ketika melakukan percubaan akrobatik, penyerang kebangsaan Mexico itu melompat tinggi untuk menanduk masuk hantaran lintang Traore dari sebelah kanan, sekali gus memastikan tiga mata penting diraih pasukannya.