ATLETICO 1 DEPORTIVO 0

Diego Simeone menyanjung Luis Suarez dan Jan Oblak atas peranan penting mereka dalam kemenangan tipis 1-0 Atletico Madrid ke atas Deportivo Alaves, awal pagi tadi.


Suarez mencetak gol tunggal perlawanan selepas keluar dari bilik persalinan menerusi tandukan bagi melakar ke-500 dalam karier profesionalnya.

Jaringan penyerang Uruguay itu seakan-akan belum cukup untuk menjamin kemenangan mereka apabila Stefan Savic dikesan menyiku Luis Rioja di dalam kotak penalti.

Namun, Oblak merebahkan badannya ke sebelah kanan untuk menepis sepakan penalti Joselu bagi membolehkan Atletico bertahan untuk kemenangan yang kurang meyakinkan.

Simeone, bagaimanapun, memberikan penghargaannya kepada dua pemain itu yang disifatkannya sebagai watak utama kemenangan mereka sambil menegaskan bahawa pasukannya telah mengambil tauladan daripada kekecewaan tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) di tangan Chelsea pada pertengahan minggu lalu.




"Seperti yang berlaku dalam pasukan hebat, akan ada pemain yang menghasilkan banyak gol sementara seorang lagi akan menyelamatkan banyak percubaan dan itulah yang terjadi," katanya.

"Biasanya ia banyak terjadi dalam pasukan besar, memiliki pemain yang boleh menjadi penentu yang boleh mencetuskan dorongan ke atas keseluruhan pasukan."

Dia menambah: "Selepas tersingkir dalam UCL, pemain tetap berusaha dengan luar biasa. Mereka menaruh hasrat, bersedia dan memberikan komitmen.

"Dalam babak pertama, kami menguasai permainan tetapi belum cukup mantap, kami tidak mencipta peluang terbuka untuk memecahkan kebuntuan. Mereka menutup gerakan kami dengan sangat baik.

"Apabila tiba di penghujung kempen, ia akan menjadi lebih sukar, kita boleh melihatnya di serata stadium. Perbezaannya sangat minimum.

"Dalam separuh masa kedua pula, kami dapat memperagakan pendekatan kami. Lebih ramai pemain berada di kubu lawan untuk melakukan penyudah sebelum satu gol hebat hadir.

"Sejak saat itu ia menjadi detik terbaik perlawanan ini hingga minit ke-77 yang menyaksikan kami mempunyai tiga peluang keemasan.

"Mengenai sepakan penalti, saya sangat gembira untuk Jan. Ketangkasannya memastikan tiga mata yang sangat penting buat pasukan."

Kemenangan itu menyaksikan Atletico kekal empat mata di depan pasukan di tangga kedua, Barcelona, yang mengalahkan Real Sociedad 6-1.