Bekas pemenang Anugerah Puskas, Faiz Subri, percaya jaringan pertahanan import Pahang, Herold Mark Goulon, dalam separuh akhir pertama Piala FA menentang Perak kelmarin mampu meraih kejayaan yang pernah dikecapinya pada 2016 itu.

Bekas pemain Pulau Pinang berusia 31 tahun itu berkata gol sensasi Goulon dalam perlawanan itu jelas berkualiti tinggi dan tidak mustahil boleh meraih kemenangan sepertinya kerana teknik sepakan dilakukan menerusi jarak lebih kurang 55 meter itu sukar dilakukan oleh mana-mana pemain.

“Memang, kalau boleh nak tengok dia tercalon dalam Anugerah Puskas FIFA dan saya rasa peluang untuk menang tetap ada jika dicalonkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini.

Goulon, pemain kelahiran Perancis dan bekas pemain Blackburn Rovers dalam Liga Perdana Inggeris, mencipta sensasi apabila jaringannya tular di media sosial dan mendapat liputan media antarabangsa.

Faiz sebelum ini mencipta sejarah apabila muncul pemain bola sepak Asia pertama merangkul Anugerah Puskas di Zurich, Switzerland menerusi jaringan sensasinya yang mendapat undian keseluruhan sebanyak 59.46 peratus.

Jaringannya dari jarak 35 meter itu disifatkan “melanggar hukum fizik” ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari 2016.

-- BERNAMA