Pasukan dari Malaysia, MMT Junior, terpaksa akur selepas tewas dengan jaringan emas pasukan dari Filipina, Dreaming Football United, dalam final Kejohanan Bola Sepak Piala Borneo Malaysia B-11 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

MMT Junior, yang kebanyakannya dibarisi pemain dari Keningau dan beberapa lagi dari Kota Kinabalu, dua kali mendahului, namun Dreaming Football United berjaya menjadikan kedudukan 2-2 pada saat-saat akhir masa sebenar permainan.

Perlawanan kemudian terpaksa diheret ke masa tambahan menerusi peraturan jaringan emas dan ternyata nasib lebih memihak kepada pasukan dari Filipina itu apabila berjaya memperoleh jaringan pada awal babak kedua masa tambahan.

Jaringan itu sekali gus membolehkan Dreaming Football United menjulang Piala Borneo Malaysia yang masuk edisi ke-10 tahun ini.

Kejohanan yang hanya dihadkan untuk lapan pasukan itu menyaksikan pasukan Astam SS dari Indonesia menduduki tempat ketiga, disusuli Calounder FC (Australia), Tabs Kota Kinabalu (Malaysia), Jubilo (Malaysia), Tabs Manggatal (Malaysia) dan Kid Ball (Malaysia).

Kejohanan tahunan anjuran Borneo Sports and Adventure Holidays yang diiktiraf Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) itu turut mempertandingkan kategori 12, 13, 14, 15 dan 16 tahun ke bawah.

Kategori 12 tahun ke bawah yang turut membabitkan lapan pasukan telah bermula di Stadium Penampang, semalam, dan diteruskan di padang sintetik Kompleks Sukan Likas sehingga ke saingan separuh akhir hari ini.

Perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium Likas esok.

Kategori 13 tahun ke bawah juga bermula esok hingga 30 September, 14 tahun ke bawah (1-3 Oktober), 15 tahun ke bawah (3-5 Oktober) dan 16 tahun ke bawah (5-7 Oktober).