Pengendali Monaco, Leonardo Jardim, menyifatkan pasukannya hanya fokus terhadap prestasi sendiri berbanding memikirkan tentang pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).

Juara bertahan itu kini ketinggalan empat mata di belakang PSG yang berada di puncak liga walaupun selepas membelasah Guingamp 6-0 semalam tatkala skuad kendalian Unai Emery itu turut mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas Angers.

Monaco bakal melayani kunjungan PSG pada 27 November ini tetapi Jardim menjelaskan dirinya masih belum memikirkan tentang perlawanan itu.

"Selepas 12 perlawanan, PSG berada di atas pasukan yang lain tetapi di belakang mereka tetap ada pasukan yang baik.

"Saya tidak akan memikirkan tentang PSG buat masa sekarang. Perbezaan empat mata membuatkan penting buat kami tidak mencicirkan mata tetapi kami harus menang ke atas Amiens terlebih dahulu, minggu depan," katanya.

Dalam aksi menentang Guingamp, Guido Carrillo yang menggantikan tempat Radamel Falcao mencatat nama sebanyak dua kali dalam senarai penjaring, membuatkan Jardim berang apabila masih ditanya mengenai penyerang Colombia itu.

"Apa yang menjadi masalah? Ia adalah satu usaha sepasukan. Saya sering mengatakannya.

"Sudah pasti saya mahu menyenaraikan Falcao tetapi Carrillo menjaringkan dua gol dan mendapatkan sepakan penalti," ujarnya.

Monaco akan menentang Amiens pada 19 November dan RB Leipzig (Liga Juara-Juara Eropah) sebelum bertemu PSG, hujung bulan ini.