BORUSSIA DORTMUND 3 MONACO 0

Leonardo Jardim bersedia mengalihkan perhatian ke Liga Europa selepas skuad kendaliannya, AS Monaco, terus buntu untuk mencipta kemenangan dalam sembilan perlawanan apabila tumpas 0-3 kepada Borussia Dortmund, awal pagi tadi.


Monaco tidak memungut sebarang mata dalam dua aksi Kumpulan A, Liga Juara-Juara. Aksi pertama berakhir dengan kekalahan 1-2 kepada Atletico Madrid, mendorong Jardim memberi amaran bahawa nasib mereka dalam saingan itu tergugat.

Club Brugge, yang turut kecundang dalam dua perlawanan awal, menanti anak buah Jardim dalam dua jadual UCL berikutnya, justeru pengurus Monaco berkenaan menyatakan beliau sudah merenung tempat dalam Liga Europa apabila menjangkakan akan menduduki tempat ketiga kumpulan.

"Kami akan menentang Club Brugge dalam dua perlawanan UCL seterusnya," kata Jardim.

"Kami memerlukan enam mata ketika menghadapi mereka. Kedua-dua perlawanan sangat penting untuk kami, sekurang-kurangnya untuk layak ke Liga Europa."

Mengulas mengenai kekalahan kepada Dortmund, beliau menambah: "Kami bermain dengan baik dalam babak pertama.

"Kami berbahaya dan menggerakkan bola dengan baik. Walaupun melepaskan gol pertama, kami terus berusaha tetapi tidak berjaya menjaringkan gol."

Tempo permainan bertukar wajah sebaik pengurus Dortmund, Lucien Favre, membawa masuk Jacob Bruun Larsen dalam babak kedua dan pemain sayap Denmark itu meluru ke arah umpanan Jadon Sancho untuk menyudahkan gol pembukaan perlawanan.

Larsen, yang telah menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan terakhirnya, mengekalkan rentak berbisanya kebelakangan ini sejak kembali daripada pinjaman di Stuttgart.

"Jaringan merupakan perasaan yang hebat, terutama dalam persaingan ini," kata pemain berusia 20 tahun itu setelah menyumbat gol sulungnya dalam UCL.

"Ia akan menjadi lebih mudah bagi kami selepas menjaringkan gol pembukaan.

"Semuanya berjalan lancar atas kerja keras yang saya curahkan, ia semudah itu."