MONACO 3 CSKA MOSCOW 0

Pengurus AS Monaco, Leonardo Jardim, menghamburkan pujian terhadap wira mereka, Radamel Falcao, selepas dua jaringannya memastikan mereka menghampiri peringkat 16 Liga Juara-Juara.


Penyerang berusia 30 tahun itu meledakkan dua gol untuk membantu pasukan tuan rumah itu mengetepikan cabaran CSKA Moscow 3-0 untuk melebarkan penguasaan mereka di tangga teratas Kumpulan E dengan dua mata.

Namun, Jardim berasakan penggempur kelahiran Colombia itu mampu menghasilkan aksi yang lebih baik lagi.

Jaringan itu merupakan gol pertamanya dalam kejohanan tersebut sejak Februari 2010, sebelum kecederaan membataskan penampilannya susulan langkah perpindahannya secara pinjaman ke Manchester United dan Chelsea tidak memberangsangkan.

Sejurus tamat perlawanan, Jardim menggesa Falcao agar terus kekal cergas dan menemui semula sentuhan berbisanya.

"Apa yang penting adalah kelab, saya dan pasukan mempercayainya," katanya kepada L'Equipe.

"Dia mengharungi perlawanan yang baik dalam tempoh 60 minit. Itulah Falcao yang mempunyai kombinasi menarik dalam perlawanan.

"Kini, dia harus terus konsisten dan kerap beraksi."



Monaco akan melayani kunjungan Tottenham dalam tempoh tiga minggu lagi. Satu mata sudah cukup untuk mereka mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Jardim turut mengambil kesempatan tersebut untuk memuji persembahan separuh masa pertama pemain-pemainnya yang mencipta tiga gol.

"Kami mempamerkan aksi sebenar pada babak pertama, menghasilkan tiga gol dan menjelmakan pelbagai kombinasi," katanya.

"Kami begitu mantap pada aksi separuh masa pertama. Ia memberi kami kelebihan dalam perlawanan ini.

"Selepas mendahului 3-0, adalah penting untuk mereka kekal fokus. Jadi, saya perlu banyak berpesan kepada mereka pada babak kedua."