Arsene Wenger mahu pemainnya tidak terbawa-bawa dengan kemenangan besar 6-0 ke atas Ludogorets dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu.

Kemenangan besar itu meletakkan The Gunners kekal mendahului Kumpulan A.

Bagaimanapun, Wenger enggan pasukannya terbawa-bawa dengan kemenangan itu meskipun kagum dengan prestasi anak buahnya.

"Sukar untuk tidak berpuas hati," katanya."Kami meledak gol yang banyak di samping memastikan gawang tidak bolos.

"Kami bermain dengan pantas dan sering memberi ancaman kepada pihak lawan. Kami perlu kekal fokus dalam setiap perlawanan. Ludogorets mengawal permainan dengan cukup baik pada babak pertama.

"Kemenangan di laman sendiri cukup berharga jika kami mahu terus kekal mendahului peringkat kumpulan."

Arsenal mampu mengesahkan slot ke pusingan 16 dengan kemenangan ke atas Ludogorets di Bulgaria, namun selepas tersingkir dalam pusingan seterusnya dalam enam penampilan sebelum ini, mara selaku juara kumpulan mampu membawa perbezaan.

Namun, Wenger enggan memikirkan senario itu, sebaliknya mahu menghadapi lawan satu demi satu.

"Keyakinan pemain meningkat dalam setiap perlawanan tetapi kami perlu kekal dahagakan kemenangan dan cuba meneruskan momentum itu dalam perlawanan seterusnya.

"Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan akan peluang kami musim ini selepas melakar kemenangan besar. Kami perlu kekalkan sifat merendah diri."

Tonton sorotan perlawanan Arsenal melawan Ludogorets: