Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, berharap agar tiada keputusan terburu-buru dilakukan ke atas jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, berikutan kegagalan Malaysia dalam kempen Piala Suzuki AFF kali ini.

Benar ia satu kegagalan, bagaimanapun, untuk menetapkan satu keputusan, Sathianathan menyarankan agar Kim Swee mahupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lebih bersabar.

Tegas Sathianathan, sebarang keputusan drastik ketika ini hanya akan mengulangi kesilapan sama, dan sudah pasti kegagalan di Yangon, Myanmar memberi pengajaran yang cukup besar buat badan induk itu sendiri.

Saranan itu disuarakan di sebalik ura-ura pentadbiran baru yang bakal diterima FAM tahun hadapan yang mungkin memiliki visi dan misi lebih jelas.

"Tiada gunanya kita membuat spekulasi mengenai masa depan Datuk Ong Kim Swee. Ini semua bergantung kepada presiden yang akan dilantik oleh ahli FAM.

"Siapa yang memiliki visi dan misi akan mengambil tempat (presiden) yang ditinggalkan Tengku Abdullah (Sultan Ahmad Shah)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, menegaskan tiada sebarang keputusan drastik akan diumumkan.

Sebaliknya, prestasi skuad negara akan diperhalusi dalam mesyuarat jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mokhtar Ahmad.

Hamidin tidak menyalahkan mana-mana pihak, baik Kim Swee mahupun pemain, dengan menegaskan ia adalah kekalahan bersama.

"Kami kena terima hakikat apabila kami kalah bermakna kami kalah bersama. Jadi, kami tidak boleh cuba mencari pihak yang salah. Kami perlu bersama-sama dalam hal ini," tambahnya.

Skuad negara tersingkir dalam saingan Piala Suzuki AFF selepas tumpas 0-1 kepada Myanmar di Stadium Thuwanna, malam tadi.

Ia kekalahan kedua Malaysia dalam kejohanan itu selepas turut tewas 0-1 kepada Vietnam.