"Jangan benarkan pasukan bermasalah bersaing,"

Itu cabaran yang dilontarkan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung kegagalan enam pasukan menyelesaikan isu tunggakan gaji menjelang Liga Malaysia (Liga -M) musim 2020.


PDRM, Melaka, Kelantan, Felda United dan Pulau Pinang antara pasukan yang disebut-sebut sedang berdepan masalah tunggakan gaji pemain.

Tetapi apa yang paling mengejutkan adalah pasukan handalan seperti Terengganu FC (TFC) juga terpalit isu sama apabila dikatakan berhutang dengan bekas pemainnya, Syamim Yahya.

Difahamkan, ada tunggakan pembayaran pasukan terbabit mencecah ratusan ribu ringgit.

PDRM, misalnya, dikatakan gagal melunaskan gaji pemain dan jurulatih selama empat bulan setengah.

Masalah itu berulang saban tahun dan ia mendapat perhatian PFAM selepas beberapa pemain mula membuat aduan rasmi kepada persatuan itu.

"Kami sedang mengumpulkan segala dokumen yang ada untuk mengkaji dan membuat aduan terhadap pasukan yang terlibat," kata Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

"Sekiranya gagal, kami akan membawa proses ini kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk tindakan seterusnya.

"Saya mengharapkan MFL dan FAM mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana pasukan yang belum menyelesaikan masalah ini untuk tidak dibenarkan bermain.

"Kerana kami tidak mahu masalah ini berulang musim depan," katanya.

Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan, tiada jawapan yang jelas mengenai perkara itu.

Beliau sebaliknya berharap masalah itu dapat ditangani menerusi pelaksanaan program kawalan ekonomi (ECP) mulai musim 2020.

"ECP mengawal perbelanjaan pasukan agar tidak berbelanja berlebihan daripada peringkat awal bagi mengelakkan mereka tidak dapat membayar gaji sehingga penghujung musim," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, menegaskan saingan Liga-M tahun depan akan terencat jika kemelut tunggakan gaji itu gagal diselesaikan sebelum liga bermula.

Justeru, beliau menyarankan MFL dan FAM mengenal pasti kaedah terbaik untuk memastikan pasukan terbabit dapat menyelesaikan masalah itu demi menjaga imej Liga-M.

"Mungkin antara caranya ialah dengan mengubah (kepada) pembayaran secara ansuran yang saya difahamkan boleh dilakukan di atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

"Kerana kita tidak mahu kerenah atau perbincangan ini tidak selesai.

"Pihak yang melakukan tuntutan juga perlu memikirkan bahawa lebih baik ada daripada tiada (pembayaran)," katanya.


Editor: Muzaffar Musa