James Rodriguez berkata dia tidak memberikan jaminan untuk kekal di Real Madrid sehingga penghujung musim ini dan mendedahkan telah mendapat beberapa tawaran daripada beberapa kelab gergasi Eropah.

Pemain kebangsaan Colombia itu berhijrah ke Santiago Bernabeu selepas cemerlang dalam Piala Dunia 2014 ketika dia memenangi anugerah kasut emas selepas muncul penjaring terbanyak kejohanan.

James menyerlah dalam musim pertama bersama Los Blancos, meledak 13 gol dalam 29 penampilan LaLiga, tetapi pemain berusia 25 tahun itu gagal berada dalam kesebelasan utama skuad kendalian Zinedine Zidane dan telah dikaitkan dengan penghijrahan ke Manchester United dan Chelsea.

James telah menyatakan bahawa dia tidak mahu meninggalkan kelab itu tetapi selepas dia tidak dibawa masuk ketika memenangi Piala Dunia Kelab FIFA 2016 (CWC) apabila menundukkan Kashima Antlers 4-2, bekas pemain tengah Porto itu mengakui dia mungkin meninggalkan Real, Januari ini.

"Saya tidak boleh memberikan jaminan sama ada saya akan kekal di Real Madrid. Saya menerima banyak tawaran dan memiliki tujuh hari untuk memikirkan mengenai masa depan saya," kata James.

"Saya gembira di Real tetapi saya mahu lebih banyak masa beraksi. Saya mahu beraksi dalam perlawanan akhir tetapi saya tetap gembira dengan kejayaan kami. Ia merupakan gelaran ke-15 dalam karier saya."