James dibenar tinggalkan kem Colombia demi utamakan Bayern 

Oleh Penulis Jemputan 15 November 2017 494
 James dibenar tinggalkan kem Colombia demi utamakan Bayern 
James Rodriguez memilih untuk tidak terlibat dengan perlawanan persahabatan di antara Colombia dan China, malam tadi demi memastikan dia bersedia untuk kembali dalam perlawanan Bundesliga bersama Bayern Munich, hujung minggu ini.

Perancang itu terbabit dalam kekalahan 2-1 kepada Korea Selatan di Suwon, Jumaat lalu tetapi memilih untuk kembali ke Jerman lebih awal dan tidak menyertai kemenangan 4-0 ke atas China di Chongqing.

Pengurus Bayern, Jupp Heynckes, mempersoalkan jadual antarabangsa sibuk yang terpaksa diharungi James selepas mereka menumpaskan Borussia Dortmund 3-1, awal bulan ini. 

Untuk memastikan dia tidak mengalami keletihan, pemain berusia 26 tahun itu bersetuju untuk dilepaskan lebih awal daripada pasukan kebangsaan dan dia kini memberi tumpuan kepada pertembungan Bayern dengan Augsburg, Sabtu ini. 

"Ia satu isu penting, sudah lama saya mempertimbangkannya, " katanya kepada laman sesawang rasmi juara Bundesliga itu.

"Saya fikir ia bagus untuk kembali berlatih bersama keseluruhan pasukan. Saya memutuskan perkara ini bersama dengan kakitangan jurulatih Colombia.

"Mereka menyedari bahawa saya sedang menempuhi detik yang baik di Munich dan jelas sekali saya perlu berada di Munich bersama rakan sepasukan saya.

"Kami menjalani latihan penuh sepanjang minggu ini untuk membuat persediaan dengan baik. Saya percaya saya telah membuat keputusan yang betul," katanya.

James berada dalam prestasi baik sejak perpindahannya dari Real Madrid dengan meledak dua gol liga dan tiga bantuan gol, lalu dia percaya lebih banyak lagi akan menyusul. 

Tambahnya: "Masih banyak yang perlu digilap kembali dalam permainan saya tetapi benar saya menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding sebelum ini. Mungkin kerana saya bermain secara rutin pada masa ini.

"Jelas saya mempunyai lebih banyak rentak, lebih banyak minit dan lebih banyak masa untuk bermain. Adalah normal untuk melakukan lebih baik apabila anda bermain lebih kerap."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen