Penyerang skuad bawah 22 tahun negara, Jafri Firdaus Chew, yang juga rakan sepasukan Mohd Faiz Subri di Pulau Pinang, berharap Faiz akan muncul pemenang Anugerah Puskas.

Dia melahirkan rasa bangga di atas kejayaan Faiz untuk berada di dalam senarai tiga gol terbaik Anugerah Puskas, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang bakal berlangsung di Zurich, Switzerland, 9 Januari depan.

"Harapan saya sebagai rakyat Malaysia dan rakan sepasukan, saya mahu melihat dia muncul juara. Satu Malaysia berasa bangga dengan pencapaian dia kerana di Malaysia, sukar untuk melihat pemain negara mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa.

"Faiz merupakan salah seorang pemain bola sepak di Malaysia yang bertuah kerana bakal ke anugerah yang cukup berprestij itu," katanya.

Turut berkongsi rasa bangga di atas kejayaan Faiz adalah pemain skuad B-22 negara, S. Kumaahran dan Ahmad Khairul Anuar Zamri.

"Saya berasa bangga kerana rakan sepasukan saya dan juga pemain Malaysia yang pertama tercalon dalam senarai akhir Anugerah Puskas.

"Kami seluruh pasukan Pulau Pinang berasa bangga kerana dia bakal ke anugerah yang paling besar buat pemain bola sepak," jelas Kumaahran.

"Satu Malaysia semestinya berbangga dengan jaringan yang dilakukan oleh Faiz. Dia berjaya mencipta sejarah tersendiri kerana menjadi pemain Malaysia pertama tercalon di dalam Anugerah Puskas dan saya sangat berbangga dengannya," kata Khairul Anuar.