BRESCIA 1 INTER 2

Antonio Conte bimbang jadual padat Inter akan memberikan masalah kepada pasukannya di sebalik The Nerazzurri kini berada di puncak Serie A, awal pagi tadi.


Inter memintas Juventus dengan kelebihan dua mata selepas menewaskan Brescia 2-1 hasil jaringan Lautaro Martinez dan Romelu Lukaku di Stadio Rigamonti.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Conte -- yang tanpa khidmat Alexis Sanchez dan Stefano Sensi ekoran kecederaan -- mengakui kebimbangannya bahawa Inter mungkin bergelut dengan jadual padat saingan domestik dan Eropah.

"Sukar untuk bercakap mengenai perlawanan kerana pemain yang sama turun beraksi secara berterusan. Mereka bergelut dalam tahap kesukaran yang luar biasa," kata Conte kepada Sky Sport Italia.

"Ia merupakan perlawanan keempat dalam sembilan hari dengan pemain yang sama. Apa-apa situasi dan keputusan boleh diterima. Apa yang mampu kami lakukan adalah berterima kasih di atas semangat yang dipamerkan hingga penghujung permainan.

"Selepas ini, kami akan berdepan Bologna, kemudian Borussia Dortmund, disusuli tujuh perlawanan yang perlu ditempuhi dalam tempoh 20 hari sebelum pemain-pemain boleh berehat seketika.

"Sesetengah perlawanan anda perlu menang hanya dengan menderita. Sebagai contoh, tuan rumah berusaha untuk mengubah keputusan perlawanan, anda harus menyerap tekanan dan saya mencabar sesiapa untuk bermain dalam tempoh sembilan hari dan meraih kemenangan di Brescia."

Katanya lagi, "Inter kini di tangga teratas Serie A tetapi setiap usaha yang dipamerkan tidak bersifat berpanjangan."

Martinez meledak gol ketujuh kelab tetapi mengakui menghadapi perlawanan yang sukar.

"Perlawanan yang sengit, berdepan pasukan yang melancarkan serangan dan bertahan dengan baik," kata Martinez kepada Sky Sport Italia.

"Kami menyedari sukar untuk meraih tiga mata di sini tetapi kami cuba bermain dengan gaya kami.

"Kepenatan adalah sesuatu yang normal. Kami bermain dengan intensiti yang tinggi sejak tiga hari lalu. Kami sangat gembira dengan keputusan yang diraih.

"Seperti biasa, kami mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan. Kami bermain dengan baik dan sekali lagi pulang dari tempat lawan dengan tiga mata."