Pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Saad, menganggap kepadatan jadual Liga Malaysia dari September hingga November depan sebagai cabaran buat pemain kebangsaan.

Baginya, pemain kebangsaan bukan sahaja beraksi dalam liga, namun turut berdepan tugasan di peringkat antarabangsa membabitkan kempen kelayakan Piala Dunia /Piala Asia.

Terdahulu, perancangan bola sepak pasca perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) menyaksikan pemain kebangsaan memiliki sekurang-kurangnya tempoh 11 hari untuk berkumpul sebagai sebuah pasukan.

Dalam situasi itu, timbul persoalan mengenai kecergasan pemain yang akan mengharungi perlawanan kompetitif mengejut selepas berehat panjang.

"Bukan di Malaysia sahaja tetapi di semua negara mengalami situasi sama. Namun, saya rasa kami tidak boleh jadikannya sebagai bebanan. Ia tidak boleh jadi alasan," katanya.