Perancangan bola sepak pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyaksikan pemain kebangsaan memiliki sekurang-kurangnya tempoh 11 hari untuk berkumpul sebagai sebuah pasukan.

Penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), memberi jaminan itu untuk mengelak sebarang pertembungan jadual.

"Merujuk kepada jadual sehingga Disember depan, setelah perlawanan kelayakan Piala Asia/Piala Dunia itu beberapa kali tertangguh, liga (dijangka) akan bermula 1 atau 2 September dan berakhir pada bulan yang sama diikuti Piala Malaysia.

"Jadi jadual perlawanan Malaysia menentang UAE dan Vietnam telah kami bahagikan (pertimbangkan) dan selepas itu barulah pusingan pertama Piala Malaysia dimulakan," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ghani Hassan, kepada wakil Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom.





MFL mengotakan janji untuk memberi peluang buat skuad negara menjalani tempoh latihan lebih lama dengan kelebihan seminggu sebelum tarikh kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bermula.

Merujuk kepada aksi liga yang dijangka berakhir 27 September 2020 itu, jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, berpeluang memulakan kem latihan seawal 28 September depan.

"Sebelum ini pun, kami memang tidak dapat mengadakan latihan selama dua hingga tiga minggu untuk menghadapi satu perlawanan.

"Tetapi itulah hakikatnya jadi sebagai ketua jurulatih, saya perlu manfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya," kata pengedali dari Kedah itu.

Berdasarkan ketetapan FIFA, jadual perlawanan antarabangsa Oktober depan akan bermula pada 5 hingga 13 Oktober 2020.

Usaha MFL itu dilihat mampu membantu skuad negara namun hakikatnya skuad kendalian masih berhadapan dengan kekangan masa, merujuk kepada aksi dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang melibatkan perjalanan yang panjang.

"Oleh kerana liga sudah terhenti lama, pemain tidak dapat berlatih dengan sepatutnya.

"Apabila tiba-tiba ada tujuh perlawanan liga September depan, itu yang menyebabkan pemain dilanda kecederaan dan keletihan, ia menjadi kebimbangan saya.

"Saya harap tunjang pasukan berada dalam keadaan terbaik.

"Kalau ada pemain lain yang menonjol, saya akan berikan peluang tetapi pemilihan skuad kali ini bukan tugas mudah buat saya."