Pemain tengah Barcelona, Arturo Vidal, menegaskan dia gembira di kelab LaLiga itu di sebalik dikaitkan dengan perpindahan ke Inter.

Vidal, 32, dilaporkan menjadi sasaran Inter di mana dia dapat kembali bergabung dengan bekas pengurus Juventus, Antonio Conte.

Namun, pemain antarabangsa Chile itu, yang mengikat kontrak di Camp Nou hingga 2021, mendedahkan bahawa dia gembira berada di Barcelona.

"Saya sangat gembira dan selesa di Barcelona, ​​sudah tentu saya mahu meneruskannya. Saya kini lebih bersedia berbanding sebelumnya," katanya ketika berbual di Instagram Live kelmarin.



"Saya gembira, ini sebuah kumpulan pemain yang bagus dan saya mempunyai rakan baik di bilik persalinan."

LaLiga yang tertangguh sejak Mac lalu hampir bersambung semula di sebalik krisis novel koronavirus (Covid-19), justeru Vidal sudah bersedia untuk memperkuatkan Barcelona dalam pemburuan gelaran LaLiga dan mahkota Liga Juara-Juara (UCL).

"Secara fizikal saya berasa sihat, lebih baik daripada sebelumnya. Sepanjang karier, saya tidak mempunyai banyak masa untuk mempersiapkan diri," kata pemain tengah itu.

"Kami membuat perancangan terperinci bagi melanjutkan karier saya selama mungkin.

"Saya sudah bersedia untuk menghadapi rintangan yang akan datang, baik dalam UCL mahupun LaLiga."