Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan, menyifatkan kejayaan meraih kejuaraan Piala Malaysia mengiringi semangat 10 pemain Harimau Selatan dalam skuad negara untuk aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Buriram, Thiland pada 10 dan 13 November ini.

Selain Izham, pemain JDT lain dalam skuad negara ialah Fazly Mazlan, Fadhli Shas, Safawi Rasid, Nazmi Faiz Mansor, S. Kunanlan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Afiq Fazail dan Ahmad Hazwan Bakri yang berlepas ke Buriram, hari ini.

Turut tersenarai ialah kapten pasukan, Safiq Rahim, yang hanya bakal terlepas aksi pertama berdepan Korea Utara gara-gara digantung perlawanan kerana dilayangkan kad merah ketika bertemu Hong Kong, 10 Oktober lalu.

Bagi Izham, dia dan rakan sepasukan daripada JDT bertekad memastikan keputusan positif mampu diraih Harimau Malaya dalam dua aksi berkenaan.

“Ia satu penghargaan yang besar dan satu motivasi tinggi untuk berada dalam pasukan ini. Saya berasakan rakan-rakan saya memiliki semangat baru untuk menghadapi tiga perlawanan ini. Insya-Allah, saya rasa tiada masalah untuk perlawanan ini,” kata Izham.

Kali terakhir Izham mewakili skuad negara ialah ketika saingan playoff Piala Asia berdepan Timor Leste pada Jun tahun lalu.

Namun, ia bukan masalah buat pemain kelahiran Terengganu ini untuk beraksi dalam dua perlawanan yang wajib dimenangi skuad negara.

“Kami menyedari cabaran yang menanti tetapi kami mengambilnya sebagai motivasi. Pasukan ini memiliki muka-muka baru, jadi saya percaya mereka mampu mencipta sesuatu untuk pasukan," katanya lagi.