Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mempertahankan tindakan bekas kapten Melaka, Shukor Adan, yang dianggap mengikut prosedur yang betul.

Pendedahan Shukor yang sudah pun menghantar afidavit kepada FAM, Isnin lalu, mendapat reaksi kurang senang daripada Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA).

Namun, FAM menerusi Stuart menegaskan apa yang dilakukan Shukor adalah tindakan yang wajar dan mengikut saluran yang betul.

"Proses yang dilakukan Shukor adalah betul. Setiap tindakan yang diambil adalah hak pemain tersebut. Hutang tetap hutang tidak mengira RM1 atau RM100,000," katanya.

Shukor berada di pihak yang benar apabila mahu menuntut haknya sebagai seorang pemain selepas melewati proses perbincangan yang gagal memihak kepadanya.

"Jika perbincangan awal telah dilakukan dan pemain masih tetap tidak berpuas hati, mereka berhak untuk mengambil tindakan dan mengetengahkan hal ini kepada pihak FAM."

Tegas Stuart, MUSA sebagai badan gabungan FAM seharusnya tahu tanggungjawab mereka dan pembayaran hutang pemain perlu diambil serius.



Editor: Ammar Hakim