ITALI 4 ESTONIA 0

Alberigo Evani mendedahkan Roberto Mancini selalu berhubung dengan pasukan Itali ketika mereka menundukkan Estonia 4-0 dalam perlawanan persahabatan awal pagi tadi.


Pengurus skuad Azzurri tersebut terpaksa mengasingkan diri di rumah selepas diuji positif COVID-19, sehubungan itu Evani mengambil alih tugasan mengemudi pertembungan di Stadio Artemio Franchi itu.

Federico Bernardeschi dan Riccardo Orsolini menokok jaringan berganda daripada Vincenzo Grifo -- gol antarabangsa pertama buat penyerang Freiburg itu -- untuk Itali dengan mudah melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 20 perlawanan.

Mancini menyalurkan arahan ke bangku simpanan tuan rumah melalui Gianluca Vialli dan Evani percaya bahawa mereka seharusnya mencetak lebih banyak gol.

"Luca berada di bangku simpanan untuk melakukan apa yang biasanya saya lakukan bersama Roberto, jadi mereka berdua saling berhubung dan ia berjalan lancar," katanya kepada RAI Sport.

"Sejujurnya, kami sepatutnya menghasilkan lebih banyak gol kerana barisan pemain ini mampu memberi tekanan yang lebih baik selain menaikkan tempo tetapi kami tidak perlu membuat tuntutan yang lebih tinggi lagi.




"Ini yang kami harapkan daripada pemain. Kami sedar bahawa ini adalah satu perlawanan di mana kami mampu rugi besar jadi kami tidak boleh melakukan kesilapan.

"Kami melihat beberapa perkara menarik termasuk kualiti luar biasa dalam kumpulan ini. Ini satu petanda baik untuk bola sepak Itali dan saya bertambah puas memandangkan saya sedang mengendalikan ramai pemain B-20."

Grifo antara yang menyinar dalam aksi di laman sendiri itu apabila membuka akaun jaringan pasukan kebangsaan menerusi sepakan voli padu dari jarak 25 ela sebelum melanjutkan sentuhan berbisanya dengan sepakan penalti, 25 minit sebelum permainan wisel penamat.

Dia juga membuat satu hantaran berharga dan memenangi lima daripada enam perebutan bola dalam penampilan keempatnya bersama juara dunia 2006 itu.

Pemain berusia 27 tahun itu telah menghabiskan seluruh karier profesionalnya di Jerman kerana dilahirkan di sana walaupun ibu bapanya berbangsa Itali.

Dia mendedahkan hanya mempertimbangkan untuk mewakili Azzurri.

"Saya sangat gembira untuk berada di sini, jadi saya lebih gembira dengan gol yang terhasil," katanya.

"Semua orang tahu bahawa saya tidak pernah terfikir untuk mewakili negara lain kecuali Itali. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Jerman tetapi saya 100 peratus adalah orang Itali.

"Saya ingin mendedikasikan jaringan ini kepada ibu bapa saya. Anda harus percaya pada diri sendiri, cuba memberikan yang terbaik di peringkat kelab dan setiap kali anda dipanggil sambil berharap jurulatih memilih anda.

"Kami mempunyai banyak kualiti dalam skuad ini yang disertai pemain daripada Juventus, Paris Saint-Germain (PSG) dan serata tempat. Saya pula di Freiburg tetapi banyak yang perlu dipelajari. Saya sangat gembira dapat berada di sini."

Itali akan menghadapi kempen Liga Negara-Negara Eropah (UNL) menentang Poland dan Bosnia-Herzegovina pada awal pagi Isnin dan Khamis depan.