Itali belum seiring pasukan elit Eropah -- Bonucci

Oleh Penulis Jemputan 18 November 2019 136
Itali belum seiring pasukan elit Eropah -- Bonucci
Leonardo Bonucci percaya Itali belum pada tahap yang sama dengan Sepanyol, Perancis, Jerman dan England tetapi pertahanan itu berasakan mereka mampu seiring dengan barisan gergasi Eropah itu.

Itali melakar kemenangan ke-10 berturut-turut ketika mengatasi Bosnia-Herzegovina 3-0 dalam aksi kelayakan Euro 2020 dan akan menerima kunjungan Armenia malam ini.

Di sebalik rentak cemerlang itu, Bonucci berkata Itali-- yang bergelar juara Eropah pada 1968 -- masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki lagi.

"Kami akan mencapai tahap yang sama dengan pasukan utama Eropah tetapi terdapat ruang yang harus diperbaiki terlebih dahulu jika mahu berhadapan lawan yang mencipta kejayaan sejak beberapa tahun lalu," kata pertahanan Juventus itu.

"Kami masih belum di tahap Sepanyol, Perancis, Jerman dan England kerana masih lagi kekurangan pengalaman.

"Mereka memiliki pemain bertaraf dunia sementara kami tidak tetapi Itali berpotensi untuk mencapai tahap yang lebih tinggi."

Bekas pengurus Itali, Arrigo Sacchi, baru-baru ini memuji persembahan Itali di bawah bimbingan Roberto Mancini, yang mengambil alih skuad kebangsaan itu apabila gagal layak ke Piala Dunia 2018.

Mancini -- bersama The Azzurri memenangi sembilan perlawanan kelayakan Kumpulan J dan bakal berdepan Armenia -- berterima kasih di atas pujian itu dan mahu Itali membentuk mentaliti kemenangan.

"Terima kasih kepada Sacchi di atas pujian, saya gembira menerima kata-kata indah daripada seseorang sepertinya," katanya.

"Saya tidak menjangkakan 10 kemenangan tetapi kelayakan adalah keutamaan.

"Memenangi perlawanan bukanlah keutamaan pada mulanya, tugas utama kami adalah menampilkan sesuatu yang baru dan berbeza bagi memastikan penyokong kami gembira dan kembali bersemangat.

"Kemudian, kami mahu memberikan mentaliti kemenangan kepada pemain-pemain kerana ia adalah jalan terbaik untuk meraih kejayaan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen