Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menuntut komitmen tinggi daripada pasukan yang dilanda masalah tunggakan gaji agar mendapatkan persetujuan bersama dalam menyelesaikan perkara berkenaan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, menegaskan pasukan terbabit seharusnya tidak memandang remeh talian hayat yang diberikan badan induk itu untuk memastikan isu tunggakan gaji pemain diselesaikan.

Ia membabitkan kaedah pembayaran, iaitu diselesaikan sepenuhnya atau persetujuan bersama di antara pasukan dan pemain serta pegawai dicapai sebelum hujung bulan ini.

"Jika pasukan dapat persetujuan dengan pemain dalam usaha menyelesaikan tunggakan gaji, jadi kami tidak akan menimbulkan lagi isu tunggakan gaji lagi selepas ini," katanya.

Lantas, Yusoff yang juga Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengingatkan pasukan berkenaan supaya memanfaatkan saki-baki tempoh pembayaran berkenaan agar tidak dipotong tiga mata sebelum liga bermula.

"Kami tidak lagi mahu mendengar serta membaca kenyataan daripada pemain-pemain yang tidak mendapat penjelasan serta komitmen pasukan dalam usaha menyelesaikan isu tunggakan gaji ini."

Dalam perkembangan berbeza, MFL menolak penyertaan Perlis United FC dan JBFA untuk saingan kelayakan Piala FA 2020.

Ini selepas dua pasukan itu dibelenggu masalah melibatkan MFL serta FAM.

"Dengan penggunaan nama Perlis United, Persekutan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah melarang untuk membenarkan mereka menyertai mana-mana saingan Liga M kerana individu yang terlibat dalam Perlis FA kini dalam pasukan tersebut," kata Yusoff.

Ini bermakna saingan Piala FA bakal disertai oleh 40 pasukan, termasuk daripada Liga M3, M4 serta pasukan amatur yang bakal mewarnai edisi 2020.




Editor: Ammar Hakim