Isu slot kenaikan/penyingkiran: Pasukan Liga M3 harap mekanisme terbaik

Oleh Penulis Jemputan 24 Julai 2020 86
Isu slot kenaikan/penyingkiran: Pasukan Liga M3 harap mekanisme terbaik
Slot istimewa atau perlawanan payoff? Itu persoalan yang membelenggu rata-rata pasukan Liga M3 selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengekalkan format kenaikan dan penyingkiran dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Bagi pengurus KL Rovers, Ashraf Mazlan, pihaknya tetap bersedia dengan apa jua situasi, namun berharap segala ketetapan akan dibuat dengan kadar segera.

"Mekanisme yang dipilih perlu adil dan pihak penilai perlu melihatnya secara menyeluruh.

"Bagi KL Rovers, kami bersedia dengan sebarang keputusan dan ia perlu diumumkan lebih awal," katanya.

Terdahulu, format penyingkiran Liga Super dan Liga Perdana kekal membabitkan dua slot walaupun saingan musim ini dijalankan secara satu pusingan.

Bagaimanapun, slot penyingkiran daripada Liga Perdana menimbulkan isu memandangkan Liga M3 musim ini dibatalkan berikutan pendemik COVID-19.

Sehingga kini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum membuat sbarang ketetapan mengenai mekanisme pemilihan pasukan Liga M3 yang akan layak ke Liga Perdana.

Untuk rekod, Liga Bola Sepak Amatur (AFL) kembali diuruskan FAM selepas mencapai persetujuan dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif baru-baru ini.

Mengulas mengenai isu itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata: "Format ini akan diputuskan secara bersama dan kami enggan terburu-buru kerana kami miliki masa sebelum bermula musim depan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen