Isu pemotongan gaji: FAM mahu satu keputusan akhir

Oleh Muzaffar Musa 9 April 2020 57
Isu pemotongan gaji: FAM mahu satu keputusan akhir
Potong gaji atau ada cara lain?

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu satu keputusan daripada 20 ahli gabungannya dan 24 ahli gabungan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum 22 April ini dan keputusan itu akan dianggap sebagai satu penyelesaian bagi meneruskan kelangsungan setiap ahli gabungan itu pada masa akan datang.


Jelas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, semua pihak yang terlibat perlu memainkan peranan dan tidak perlu lagi menjadi hero memandangkan badan induk itu telah mengeluarkan satu garis panduan dengan merujuk kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) agar satu keputusan dapat dimuktamadkan pada tarikh berkenaan.

"Keputusan yang diambil FAM ini adalah untuk kebajikan pemain dan pegawai juga.

"Bukan semata-mata mendengar rayuan daripada kelab atau liga, di mana isu gaji ini merupakan isu semasa.

"Tetapi keputusan berat yang diambil ini adalah untuk memastikan kita dapat memandang ke depan dan terdapat keputusan jangka panjang yang diambil bersama," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, memberikan pandangan berbeza dengan menegaskan tiada sebarang pemotongan gaji boleh dilakukan tanpa persetujuan empat mata di antara kedua-dua pihak.

"Kami tiada hak untuk memilih apa-apa (keputusan) dan akan menerimanya tetapi perlu duduk semeja untuk berbincang.

"Jangan pandai-pandai buat keputusan kerana kita tidak tahu keadaan seseorang pemain itu.

"Kalau katakan dia (pemain) gaji RM5,000, saya tahu ada pemain dalam liga super yang hanya bergaji RM3,000.

Pada masa yang sama, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) perlu memainkan peranan sebenar mereka.

Jika sebelum ini mereka berkeras agar setiap pihak menghormati kontrak pemain, mereka kini perlu memainkan peranan sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

"Sekiranya gaji pemain itu rendah dan dipotong lagi, ia akan kelihatan seperti berat sebelah tetapi sebenarnya, jika ada perbincangan untuk mendapatkan situasi menang-menang, ia tidak akan menjadi masalah," kata Timbalan Presiden PFAM, Shahrom Kalam.

"Apabila kita melihat kepada perkara asas, pemain tetap pekerja kepada majikan mereka, jadi ia memerlukan satu perbincangan yang baik." 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen