BAYERN 6 SALZBURG 2

Jerome Boateng menegaskan pemain Bayern Munich tetap berdiri teguh di belakang David Alaba di celah-celah ketidakpastian mengenai masa depan pertahanan itu.


Pemain berusia 28 tahun itu kelihatan hampir akan meninggalkan juara Eropah dan Bundesliga berkenaan berikutan masih buntu dengan kontrak baru sementara perjanjiannya ketika ini akan berakhir pada penghujung musim ini.

Namun, pertahanan itu terpilih untuk beraksi sepanjang perlawanan ketika Bayern menundukkan Salzburg 6-2 dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Boateng meluahkan sokongannya kepada Alaba yang tiba di Bayern sebagai pemain muda pada 2008.

"Sudah tentu ia merupakan satu masalah tetapi bukanlah besar. Dia sedang memberi tumpuan kepada perkara-perkara penting," katanya kepada Sky.

"Ini bukan situasi yang mudah baginya tetapi dia sekali lagi mempamerkan persembahan hebat hari ini.

"Kami sebagai sebuah pasukan memberi sokongan kepadanya."




Dalam pertembungan Kumpulan A itu, Bayern terpaksa menggandakan usaha selepas gergasi Austria terbabit menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan Masaya Okugawa pada minit ke-66.

Begitupun, Bayern empat kali menggegar gawang lawan dalam tempoh 13 minit, bermula dengan gol Boateng pada minit ke-79 sebelum dimuktamadkan Lucas Hernandez pada masa tambahan.

Keputusan itu menyaksikan Bayern belum tumpas dalam 15 perlawanan terakhir UCL. Hanya Manchester United (16 perlawanan di antara 2007 dan 2010) pernah menghasilkan pencapaian sedemikian.

"Kami sudah meramalkan satu perlawanan sukar," kata Boateng.

"Salzburg beraksi dengan sangat baik.

"Pada akhirnya, kami menunjukkan bahawa kami benar-benar ingin menang. Apa yang membezakan kedua-dua pasukan ialah kami tidak pernah menyerah. Kami melangkah lebih jauh.

"Sebaik Salzburg agak keletihan, kami memanfaatkannya."

Bayern kini merekodkan kemenangan sempurna dalam Kumpulan A, meninggalkan pencabar terdekat, Atletico Madrid, dengan lima mata .