Isu kewangan terus menjadi perbincangan utama, walaupun sesi latihan berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) sudah boleh bermula Isnin ini, itu bukan gambaran jelas keadaan sudah kembali seperti biasa.

Hakikatnya pengurusan pasukan kini berhadapan dengan situasi baru, tempias Covid-19 tetap dirasai sehingga ke penghujung musim 2020.

"Apabila latihan penuh yang bakal bermula bulan hadapan, ia bergantung kepada pemain-pemain untuk membuat perbincangan antara pemain dan pasukan mengenai pembayaran gaji penuh atau sebaliknya," kata Presiden Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali.

Bagi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Nokman Mustafa, "Saya memohon kepada Safee kalau boleh jangan terlalu menekan persatuan bola sepak kerana kami turut terkesan dengan situasi semasa."

Isu pembayaran penuh gaji pemain kini jadi perbincangan, namun hakikatnya persefahaman kedua-dua belah pihak antara persatuan dan penaja gagal dicapai dalam tempoh tiga atau empat bulan lalu.

Terdapat beberapa pasukan sudah kehilangan penajaan dan itu membawa kemungkinan pembayaran gaji penuh akan dipertimbangkan semula.

Hal ini diakui Setiausaha Hehormat PJ City, Ganesh Shanmugam, bahawa mereka juga berhadapan kesukaran ekoran pihak penaja terpaksa membuat pemotongan bajet daripada penaja ekoran wabak Covid-19.

"Penajaan bagi seluruh musim telah dipotong ekoran situasi yang diperlu dihadapi ketika ini. Saya berasakan pemain-pemain perlu memahami situasi yang diperlu diatasi ketika ini," kata Ganesh.

Bagaimanapun, tidak semua pasukan berhadapan dengan masalah yang sama, kerana beberapa pasukan yang dihubungi seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang menegaskan kata sepakat yang dicapai sebelum dilaksanakan sebaiknya.