Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi gambaran bahawa isu Marcel Kalonda sebagai isyarat bahawa organisasi itu tidak boleh dibuli.

Amaran itu disuarakan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, dalam wawancaranya bersama wakil Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, selepas dokumen yang diserahkan pemain dari Congo itu ditolak kerana didapati palsu.

"Perbincangan di antara kami dengan (Jabatan Pendaftaran Negara) JPN adalah sulit, saya tidak boleh kongsikan maklumat itu sepenuhnya.

"Salah satu daripada dokumen yang dihantarnya disahkan tidak sahih oleh JPN, ia palsu," katanya di Wisma FAM hari ini.

Menurutnya, JPN tidak boleh merujuk kepada persatuan di Congo, sebaliknya ia lebih membabitkan dokumen tempatan.

"Dia perlu mengemukakan sijil beranak dan salinan kad pengenalan ayahnya sebagai buktinya layak selaku pemain warisan. Itu sahaja dokumen yang boleh diperiksa JPN.

"Kami tidak mengambil keputusan (pendirian) sama ada mahu percaya atau tidak (dokumen itu). Kami mengambil proses ini dengan tidak berat sebelah.

"FAM tidak mengambil keputusan yang terawal kerana kalau kami tidak percaya (dari awal lagi), maka kami tidak akan mengharungi proses ini tetapi kami biarkan proses ini menjadi bukti kepada sebarang keputusan yang akan diambil.

"Keputusan kami berdasarkan kewarganegaraan dan langkah (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) FIFA bagi melengkapkan pendaftaran seseorang pemain itu sebagai tonggak warisan," tambahnya.

Baginya, FAM mengambil serius dalam merekrut pemain dari luar dengan mengambil langkah berwaspada.

"Kami serius terhadap proses yang akan diambil agar tidak tersalah langkah, ia boleh disalah guna kalau kami tidak teliti.

"Bukti dan keputusan yang dikeluarkan membuktikan bahawa kami telah mengambil keputusan yang tepat.

"Ini bukan isu buat pemain-pemain di luar sana sewenang-wenangnya mendapatkan perhatian di sosial media. Kami perlu tahu dan ramai pemain warisan negara dan naturalisasi, kami jadikan mereka popular tetapi mereka tiada komitmen untuk menyarung jersi kebangsaan.

"Bukan sewenang-wenangnya kami boleh memberi jersi untuk disarung kepada pemain sebarangan, kami mahu memberikannya kepada orang yang benar-benar mahu mewakili negara, bukan sekadar demi kepentingan mereka di sosial media," katanya lagi.