Isu gaji: TRW yakin Kelantan tidak akan dipotong mata

Oleh Staff Writer 31 Januari 2020 922
Isu gaji: TRW yakin Kelantan tidak akan dipotong mata
Pengarah Urusan The Red Warriors Sdn. Bhd. (TRW), Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, percaya pasukan Kelantan tidak akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata selepas mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Namun, timbul persoalan mengenai status PDRM, yang difahamkan gagal memberikan komitmen untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pada tarikh akhir pertama hari ini.

Berdasarkan situasi semasa, hanya Kelantan dan Melaka dilihat akan terlepas daripada hukuman pertama itu menjelang permulaan Liga Malaysia (Liga-M) hujung bulan depan.

Selaku pengurus Kelantan, Wan Rakemi memanfaatkan tarikh akhir pertama itu untuk menyelesaikan setiap isu tunggakan gaji pemain mereka.

Beliau hadir ke Wisma FAM untuk menyerahkan dokumen membabitkan pelan penyelesaian tunggakan bayaran pemain dan pegawai yang terbabit.

Menyerahkan sepenuhnya kepada badan induk itu dalam membuat keputusan, beliau menganggap pasukan itu berada di landasan yang betul untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

"Saya sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap pasukan Kelantan musim ini, yakin kami telah melakukan kerja kami untuk memastikan Kelantan dapat bersaing dalam keadaan terbaik.

"Jadi, apa yang kami buat ialah mengadakan satu perjanjian dengan pemain untuk menyelesaikannya secara ansuran dan bayaran jangka pendek," katanya.

Sementara itu, FAM menerusi setiausaha agungnya, Stuart Ramalingam, mahu meneliti dengan lebih terperinci segala dokumen yang dikemukakan sebelum menjatuhkan sebarang hukuman. 

"Saya perlu adil dengan setiap pasukan yang mempunyai tarikh akhir tanpa memberikan tekanan yang tidak perlu.

"Beri sedikit masa dan saya akan mengeluarkan kenyataan rasmi esok," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali, berharap agar tiada sebarang urusan di belakang tabir yang akan menidakkan hak mana-mana pemain.

"Saya harap tiada lagi penangguhan tarikh akhir dengan rayuan secara mengejut.

"Saya harap ia tidak akan berulang seperti yang berlaku sebelum ini.

"Kerana kami sebagai pemain ingin bermain dalam liga dengan struktur yang lengkap dan tetap.

"Jangan berubah-ubah kerana perkara-perkara sebegini, walaupun nampak kecil, ia sebenarnya memberikan impak yang besar buat pemain.

"Imej liga dan pasukan amat mustahak dan ia juga akan terjejas," katanya.




Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen