Gabungan Kelab Penyokong Selangor, tidak rela nama Selangor sekadar tinggal satu sejarah, sambil menggesa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) agar segera mengambil langkah proaktif untuk mendapatkan dana daripada kerajaan negeri untuk menghadapi saingan musim depan.

Jurucakapnya, Muhd Faizal Wahid, mempersoalkan sejauh mana keseriusan FAS untuk menyelesaikan isu terbabit ketika tarikh pendaftaran pasukan akan berakhir penghujung tahun ini.

Dia berkata, jika benar Selangor tidak ada keupayaan untuk mengambil bahagian pada saingan Liga Malaysia 2017, ia ibarat mimpi ngeri kepada pencinta bola The Red Giants.

"Untuk memberikan satu daya saing kepada pasukan Selangor seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Felda United, saya berasa Selangor perlu berusaha untuk mendapatkan dana daripada kerajaan negeri," jelas Faizal.

Selain itu, Faizal, yang mewakili keseluruhan penyokong Selangor turut membantah idea penggabungan Selangor dan PKNS.

Menurutnya, jika gabungan itu terjadi ia bukan sahaja bakal menghilangkan identiti sebenar Selangor tetapi mampu mengurangkan jumlah penyokong setia The Red Giants, yang teguh berada di belakang pasukan selama ini.

"Kami sebagai penyokong memang tidak bersetuju dengan idea penggabungan itu. Pasukan PKNS adalah PKNS dan Selangor adalah Selangor.

"Jika kedua-dua pasukan disatukan, kemana hala tuju penyokong PKNS dan Merah Kuning," tambahnya.

Nadi Arena sebelum ini melaporkan bekas pengurus Selangor, Amirudin Shari, mengesahkan tiada sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri kepada Selangor.