Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane, layak dibandingkan dengan Cristiano Ronaldo dan pengurus pasukan, Mauricio Pochettino, turut mendedahkan isterinya cemburu dengan keyakinan dirinya terhadap penyerang itu.

Kane mencipta hatrik ketika membantu Spurs membenam cabaran APOEL 3-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi, menjadikan jumlah keseluruhan jaringannya kini sembilan gol, dan membuatkan Pochettino menyifatkan dirinya "kini dilamun cinta" dengan penyerang England itu.

Pengendali dari Argentina itu menyanjung tinggi pemain berusia 24 tahun itu dan berasakan bahawa Kane layak dibandingkan dengan Ronaldo dan Lionel Messi.

"Saya rasa mereka jelas pemain yang berlainan jenis. Kane adalah salah seorang penyerang terbaik. Ronaldo adalah berlainan. Mereka bukan penyerang," ujar Pochettino.

"Ia tidak mengubah persepsi saya terhadap dirinya kerana dia menjaringkan tigal gol. Bagi saya, dia adalah salah seorang penyerang terbaik.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu menjelaskan tentang Kane seperti selepas aksi menentang West Ham (cintanya terhadap penyerang itu) selepas ia menjadi kontroversi kerana kini, isteri saya sangat mencemburuinya.

"Ia sukar dipercayai. Anda semua tahu, dia adalah Harry Kane."

Ketika ditanya mengenai kebarangkalian Pochettino untuk menukarkan penyerangnya itu dengan Ronaldo, dia mahukan kedua-duanya.

"Ronaldo seorang pemain yang hebat manakala Kane adalah penyerang yang bagus.

"Kedua-duanya mereka adalah pemain yang anda mahukan dalam pasukan anda," tambahnya.