Bekas jurulatih Sime Darby FC, Ismail Zakaria, tidak menyembunyikan rasa terkilan terhadap tindakan kelab itu menarik diri daripada Liga Perdana musim depan.

Walaupun meninggalkan Sime Darby pada 2015, Ismail mengakui kelab itu masih dekat di hatinya.

Ismail pernah membawa pasukan itu muncul naib juara Piala FA 2012 dan Liga Perdana 2013 selain beraksi dalam Liga Super pada 2014 dan 2015.

"Sejak daripada awal, kami mengharapkan Sime Darby selaku badan korporat dapat membantu menaikkan sukan negara seperti bola sepak.

"Apabila ditutup, ia agak mengecewakan sebab kita mulakan segala-galanya. Impaknya agak negatif dalam senario bola sepak kita. Ia kerana syarikat korporat ini dapat membantu menaikkan bola sepak negara," katanya.

Jurulatih berpengalaman itu berharap agar mana-mana syarikat korporat yang ingin beraksi dalam Liga Malaysia harus mempunyai objektif yang jelas.

Katanya, mereka perlu mempunyai perancangan jangka panjang bagi mengelak pembubaran selepas hanya beberapa musim.

"Pasukan yang berminat untuk bermain dalam Liga Malaysia perlu dipertimbangkan. Maksudnya, perlu melihat sejauh mana objektif mereka mahu capai.

"Kita tidak mahu mereka masuk sekadar untuk memenuhi ruang atau sertai untuk setahun dua. Ia membebankan pemain," katanya.

Sime Darby FC

Tahun ditubuhkan: 2010
Gelaran: The Giant Killers
Gelanggang: Stadium Selayang

Pencapaian terbaik:
• Liga FAM: Juara (2010 & 2017)
• Liga Perdana: Naib juara (2013)
• Piala FA: Naib juara (2012)