Isco tiada niat tinggalkan Madrid

Oleh Penulis Jemputan 31 Disember 2018 3
Isco tiada niat tinggalkan Madrid
Pemain tengah Real Madrid, Isco, menegaskan dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan pasukan itu bulan depan walaupun gagal menambat hati pengendali pasukan, Santiago Solari.

Kali terakhir Isco berada dalam kesebelasan utama perlawanan liga Madrid adalah ketika mereka tewas 1-5 kepada Barcelona, 28 Oktober lalu.

Perlawanan itu juga merupakan perlawanan terakhir di bawah kendalian bekas ketua jurulatih, Julen Lopetegui.

Sejak itu, Isco hanya berada dua kali dalam kesebelan utama pasukan itu -- kemenangan 6-1 ke atas Melilla dalam Copa del Rey dan kekalahan 0-3 kepada CSKA Moscow dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Solari kerap menyatakan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Isco dan terus memberikan pujian buat pemain tengahnya itu.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak dapat menolak spekulasi mengenai perpindahan Isco daripada skuad Los Blancos walaupun kerap kali dinafikan dalam laporan media.

"Saya tidak terfikir untuk meninggalkan Madrid.

"Saya amat gembira di sini dan sasaran utama saya adalah untuk meraih sebanyak mungkin kejuaraan dengan pasukan ini," katanya kepada Deportes Cuatro.

Madrid akan berdepan Villarreal, Selasa ini, dalam perlawanan pertama mereka selepas LaLiga kembali bersambung sesudah waktu rehat pertengahan musim.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen