Pemain tengah Real Madrid, Isco, berkata dia berkemungkinan akan berhijrah pada penghujung musim ini jika tidak mendapat waktu beraksi yang secukupnya.

Pemain berusia 24 tahun itu telah beraksi dalam 150 penampilan dalam semua pertandingan buat Madrid sejak menyertainya dari Malaga pada 2013, namun masih gagal beraksi sebagai pemain utama.

Sering memulakan saingan sebagai pemain gantian sejak permulaan musim ini, Isco berkata dia mahu terus bersaing sehingga penghujung musim.

"Berhijrah pada Januari tiada dalam perancangan saya, namun saya masih mempertimbangkannya. Saya tidak akan menyerah dengan begitu mudah," kata Isco.

"Tetapi jika saya masih gagal menjadi pemain tetap pasukan pada penghujung musim ini, saya mahu mencuba nasib bersama pasukan lain.

"Saya gembira di Madrid tetapi apa yang dimahukan oleh pemain bola sepak adalah perkembangan dan jika saya gagal melakukannya di sini, saya perlu mencari kelab lain."

Isco masih mempunyai kontrak bersama Madrid sehingga Jun 2018.