Isco menegaskan Real Madrid masih lagi kompetitif seperti musim lalu walaupun juara Sepanyol itu mengharungi permulaan yang hambar selepas sekali lagi meraih keputusan seri ketika bertemu Athelic Bilbao.

Penyandang juara LaLiga, Real, terlepas peluang untuk merapatkan kedudukan dengan Barcelona kepada enam mata selepas seri tanpa jaringan di San Mames.

Kapten pasukan, Sergio Ramos, dilayangkan kad merah manakala Cristiano Ronaldo dan Toni Kroos membazirkan peluang untuk mencipta jaringan.

Ronaldo sebelum ini mencadangkan Real tidak lagi kuat bagi musim 2017-18 selepas penghijrahan Alvaro Morata dan James Rodriguez tetapi Isco mempertahankan ketiadaan dua pemain itu bukan masalah buat mereka.

"Pasukan gagal mengambil peluang dengan baik, ia merupakan punca kemenangan tidak memihak kepada kami.

"Kami masih lagi sama seperti musim lalu dan masih gagal membariskan kesebelasan terbaik kerana terdapat beberapa pemain yang masih dibelenggu masalah kecederaan," katanya.

Keputusan ini menjadikan keputusan seri tanpa jaringan yang kedua dalam tempoh tiga perlawanan, sekaligus skuad kendalian Zinedine Zidane turun ke tangga keempat, dua mata di belakang Atletico Madrid.