Isco menolak cadangan kepentingan watak Cristiano Ronalo bersama Real Madrid yang kembali menjadi bualan susulan prestasi buruk mereka ketika ini.

Ronaldo berpindah ke Juventus, Julai lalu, dan meninggalkan ruang besar untuk diisi yang menyaksikan Madrid kemarau kemenangan dalam lima perlawanan sehingga menimbulkan tekanan ke atas pengurus, Julen Lopetegui.

Kekalahan 1-2 kepada Levante, Sabtu lalu, menghangatkan lagi spekulasi Lopetegui akan dipecat sebelum sepak mula dengan Viktoria Plzen dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi esok.

Namun, bekas pengendali Sepanyol berkenaan meneruskan tugasnya bertemu media seperti biasa semalam dan berharap kemenangan yang gemilang akan memberi beliau kesempatan untuk memimpin pasukan itu dalam pertembungan 'El Clasico' pertamanya menentang Barcelona minggu ini.

Isco menawarkan sokongannya kepada Lopetegui dan mengalihkan persoalan mengenai kesukaran kempen yang mereka tempuhi tanpa Ronaldo.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu berkata: "Kami telah bercakap mengenainya musim ini.

"Tiada gunanya bercakap tentang seseorang yang tidak ada di sini.

"Saya merindui (Gareth) Bale dan (Dani) Carvajal apabila mereka tidak ada. Kami mempunyai penyelesaian untuk memburu gol.

"Kami tidak boleh menangisi seseorang yang tidak mahu berada di sini."

Ronaldo telah menjaringkan lima gol dalam 10 perlawanan untuk Juventus musim ini.