Isco memuji jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, kerana memberi sokongan kepadanya sebelum meledak dua gol ketika menewaskan Real Betis 6-1 dalam aksi La Liga.

Terdapat beberapa spekulasi yang menyatakan bekas pemain tengah Malaga itu akan meninggalkan Santiago Bernabeu gara-gara gagal mempamerkan kualiti sebenar.

Isco gagal mempamerkan aksi memberangsangkan pada awal musim ini, namun pemain kebangsaan Sepanyol itu bagaikan sudah menemui rentak permainannya apabila meledak dua gol di Benito Villamarin.

"Kami memerlukan permainan seperti ini," jelas Isco. "Ia membantu kami untuk mencuba sesuatu dalam proses untuk mendapatkan rentak permainan yang diingini.

"Jurulatih memberikan keyakinan kepada saya untuk membuktikan kebolehan sebenar di atas padang."

Zidane turut berpuas hati dengan kemenangan ini untuk menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan dan menggesa pemain-pemain untuk mengulangi kejayaan dalam perlawanan akan datang.

"Saya sangat berpuas hati," ujar Zidane. "Selepas seri dalam empat perlawanan, kami memerlukan keputusan sebegini.

"Diharapkan kemarau tanpa kemenangan tidak akan berulang lagi. Jika tidak, kami akan kehilangan banyak mata."