Tonggak pertahanan skuad B-22 negara, Irfan Zakaria, enggan menyerah sebelum berjuang walaupun mengakui skuad negara berada dalam kumpulan sukar dalam pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari depan.

Irfan percaya rakan sepasukannya akan meneruskan semangat juang tinggi seperti yang dipamerkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Bekas pemain Piala Presiden Selangor itu mengakui skuad negara bakal menghadapi cabaran sengit apabila diundi dalam Kumpulan C bersama Iraq, Jordan dan Arab Saudi.

Namun, Irfan memberi jaminan bahawa barisan muda negara bersedia mengerah segala kudrat ketika berdepan tiga negara Asia Barat itu.

“Saingan yang sangat sengit. Tetapi kami akan terus berusaha untuk mendapatkan keputusan positif ketika berdepan mereka,” kata pemain Kuala Lumpur itu.

Irfan juga percaya pengendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, akan merangka program latihan sesuai sebelum mengharungi kempen itu nanti.

Selain berdepan tiga negara Asia Barat itu, skuad negara juga perlu bersedia beraksi dalam musim sejuk di venue kejohanan.

“Kim Swee memiliki perancangan yang rapi untuk kami menghadapi saingan di China,” katanya.

Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan pula berasakan bahawa Kim Swee perlu melakukan persiapan rapi bagi memastikan barisan negara mampu menangani cabaran awal di peringkat kumpulan itu.

Jurulatih itu turut disaran agar menyerap pemain-pemain terbaik daripada skuad B-19 negara untuk menambah keampuhan pasukan.

“Saya berpendapat Kim Swee harus mendapatkan pemain-pemain terbaik untuk memberikan saingan dalam Kumpulan C nanti,” kata Asmawi Bakiri.

Hasnizam Uzir turut menyuarakan keperluan pasukan itu memantapkan aspek fizikal bagi menyaingi kekuatan lawan dengan berkata: "Kim Swee perlu mengatur strategi yang rapi bagi menghadapi saingan fizikal yang bakal ditampilkan negara-negara Asia Barat itu."