Bekas penolong jurulatih skuad negara, Irfan Bakti Abu Salim, menganggap pemilihan aksi persahabatan dengan pasukan yang memiliki ranking yang lebih tinggi sebagai petanda bola sepak negara mampu kembali menyinar jika pendekatan itu berterusan.

Bukan Bhutan, Mongolia mahupun Nepal. Pilihan yang dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dituntut agar berterusan demi kelangsungan bola sepak negara.

Bekas jurulatih Terengganu berkenaan merujuk kepada usaha terkini badan induk itu yang mula memilih aksi persahabatan dan ia langkah terpuji, bermula daripada aksi persahabatan menentang Tajikistan yang berada di ranking ke-121 dunia, September lalu.

"Diharapkan selepas ini, Malaysia tidak lagi bertemu pasukan di ranking lebih bawah daripada skuad negara.

"Malaysia perlu berjumpa pasukan yang kuat untuk mengetahui keupayaan sebenar.

"Skuad negara perlu berjumpa pasukan yang setaraf atau lebih tinggi bagi menguji kekuatan sebenar," katanya.

Situasi itu sudah lama tidak berlaku sambil merujuk kepada era Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan sebagai pemain adalah kali terakhir pasukan kebangsaan berhadapan dengan skuad terbaik Asia seperti Jepun dan Korea Selatan.

"Kalau 30 tahun dulu, mereka (era Dollah dan Zainal) akan berjumpa dengan Korea Selatan dan Jepun.

"Selepas era mereka, Malaysia tidak lagi berjumpa pasukan gergasi Asia itu lagi.

"Dalam tiga tahun kebelakangan ini, pertemuan dengan Bhutan dan Mongolia merupakan langkah yang tidak bagus untuk mengetahui kekuatan sebenar pasukan negara," katanya lagi.

Terkini, FAM dalam usaha untuk mendapatkan aksi persahabatan terbaik yang melibatkan Bahrain, Oman, Qatar dan Arab Saudi sebagai persediaan buat skuad Tan Cheng Hoe itu berhadapan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi aksi kelayakan Piala Asia/Piala Dunia 2022/2023, Mac depan.