REPUBLIK IRELAND 0 IRELAND UTARA 0

Ketua jurulatih Republik Ireland, Martin O'Neill, mendedahkan dia kini dalam tekanan tinggi selepas pasukannya itu memaparkan satu lagi aksi longlai ketika terikat 0-0 dengan Ireland Utara dalam aksi persahabatan di Dublin, awal pagi tadi.


Penjaga gawang, Darren Randolph, muncul penyelamat Ireland selepas melakukan rangkaian penyelamatan menakjubkan sepanjang perlawanan dalam mengelakkan kekalahan memalukan tuan rumah.

Ireland Utara berkemungkinan besar memenangi perlawanan itu sebelum O'Neill terpaksa menggunakan formasi 3-5-2 bagi meningkatkan tahap serangan pasukan.

Kecaman daripada penyokong jelas kedengaran selepas tamat perlawanan, namun O'Neill menerima situasi itu memandangkan pasukannya hanya meraih satu kemenangan daripada 10 perlawanan terakhir mereka.

"Kami kerap kehilangan kemenangan dan kami perlukan perubahan," kata O'Neill kepada Sky Sports.

"Kami melakukan beberapa kesalahan di penghujung perlawanan dan Randolph menyelamatkan kami.

"Secara keseluruhan, kami tidak bermain baik.

"Kami tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh, terutama di bahagian serangan.

"Kami tidak lagi dibolosi, namun perlu meningkatkan tahap serangan kami.

"Kami kini dalam fasa peralihan. Pemain-pemain berpengalaman kami akan kembali beraksi selepas ini.

"Saya yakin, kami akan bangkit," tambahnya.

Pengendali Ireland Utara, Michael O'Neill, menghadapi masalah sama apabila barisan penyerang gagal menyudahkan peluang terhidang.

"Saya berbangga dengan aksi pemain-pemain saya.

"Kami mendominasi perlawanan, namun gagal menyudahkan peluang untuk menewaskan mereka.

"Darren Rundolph kerap mengecewakan kami.

"Kami berhak memenangi perlawanan ini dan saya gembira dengan prestasi pasukan," katanya.

Nasib Ireland dalam saingan Liga Negara-Negara bakal ditentukan dalam aksi menentang Denmark, minggu depan.

Ireland Utara pula tersingkir daripada Liga B selepas Austria dan Bosnia-Herzegovina terikat seri sebelum ini.