Iraq membelasah Thailand 4-0 dalam pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2018 zon Asia di Tehran, malam tadi.

Mohannad Abdulraheem menjaringkan kesemua empat gol untuk membantu Iraq meraih mata pertama mereka dalam Kumpulan B, yang turut dihuni Australia, Arab Saudi, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Abdulraheem menjaringkan dua gol pada setiap babak sambil Thailand terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Koravit Namwiset dibuang padang ketika perlawanan berbaki 20 minit.

Thailand tewas semua empat perlawanan dan tidak mengumpul sebarang mata. Skuad Gajah Perang itu akan menentang Australia di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok Sabtu ini, selepas Socceroos seri 1-1 dengan Jepun, malam tadi.

Genki Haraguchi meletakkan Jepun di hadapan pada minit keenam selepas kesilapan barisan pertahanan Australia tetapi penyerang Hertha Berlin itu menghadiahkan penalti kepada pasukan lawan pada awal separuh masa kedua kerana menolak Tomi Juric.

Mile Jedinak, yang bermain untuk kelab liga tahap kedua Inggeris, Aston Villa, kemudian menjaringkan gol dari tempat insiden itu.

Ia keputusan seri kedua berturut-turut diraih Australia berikutan terikat 2-2 menentang Arab Saudi pada Khamis lalu, dan mengekalkan rekod tanpa kalah Socceroos dengan lapan mata daripada empat perlawanan Kumpulan B. Jepun mengumpul tujuh mata.

Keputusan Kelayakan Piala Dunia Zon Asia

Kumpulan A

Uzbekistan 2 China 0
Iran 1 Korea Selatan 0
Qatar 1 Syria 0

Kumpulan B

Australia 1 Jepun 1
Iraq 4 Thailand 0
Arab Saudi 3 UAE 0