Pengendali Lazio, Simone Inzaghi, memuji persembahan anak-anak buahnya selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Juventus 2-1 dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.

Lazio, yang meraikan ulang tahun ke-117 nyata dimotivasikan dengan hari bersejarah itu, selepas berjaya memadamkan jaringan awal Douglas Cousta pada minit ke-23.

Dua gol dalam babak kedua yang disumbangkan oleh penyerang, Ciro Immobile, membolehkan Lazio mencuri tiga mata dalam kunjungan ke tempat lawan.

Kemenangan itu menyaksikan Lazio kini berkongsi 19 mata dengan Juve, hanya lima mata ketinggalan daripada pendahulu, Napoli.

Inzaghi, yang mengendalikan Biancocelesti untuk musim yang kelima, menyifatkan pasukannya layak untuk dihormati oleh juara bertahan itu.

"Apa yang bagus adalah orang ramai berbicara tentang kejayaan kami pada hari ini.

"Saya dapat merasakan bahawa kami mampu menumbangkan Juve sekiranya kami menampilkan aksi terbaik.

"Ada orang mengatakan kami akan berada di tangga kesembilan atau sepuluh liga pada musim ini dan ia tidak adil," kata Inzaghi.

Kebijaksaan Immobile menggunakan peluang dalam masa 10 minit pertama dalam separuh masa kedua juga menjadi kunci kejayaan buat Lazio dan Inzaghi menegaskan dia sentiasa yakin dengan kebolehan anak buahnya.

"Ketika rehat, saya memberitahu pemain-pemain bahawa kami mampu melakukannya, hanya perlu memanfaatkan peluang setiap kali memegang bola.

"Keadaan di Turin pastinya tidak semudah yang difikirkan kerana mereka sudah hampir tiga tahun tidak tewas di sini," tambahnya.