INTER MILAN 1 BARCELONA 1

Penyerang Inter Milan, Mauro Icardi, memuji semangat juang yang dipaparkan pasukannya ketika mengikat Barcelona 1-1 dalam aksi Kumpulan B, Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.


The Nerazzuri sebelum ini menjaringkan dua gol lewat permainan ketika menewaskan Tottenham Hotspur, namun jaringan Icardi pada minit ke-87 menyaksikan mereka mengikat gergasi Sepanyol, Barcelona, di San Siro.

Kapten Inter itu kecewa kerana pasukannya gagal memanfaatkan waktu yang ada untuk menghasilkan satu lagi kemenangan dramatik, namun dia masih meraikan keputusan itu selepas Malcom meletakkan Barca di depan, empat minit sebelum jaringannya.

"Kami berdepan pasukan terbaik dunia dan mereka menjaringkan gol dengan cara Barcelona.

"Kami tidak pernah mengalah, kami kekal bersaing dan saya menjaringkan gol.

"Kami telah membuktikannya ketika menewaskan Tottenham sebelum ini, namun kami kekurangan masa untuk melakukannya sekali lagi," kata Icardi kepada Sky Sport Italia.

Icardi mengakui jaringannya itu dibantu faktor nasib, namun dia memuji peranan Matias Vecino yang membantu skuad kendalian Luciano Spalletti itu mengekalkan prestasi yang baik.

"Gol itu disebabkan nasib baik, bola itu jatuh berhampiran dan saya menyudahkannya.

"Vecino merupakan tangkal bertuah kami, kami mempercayainya sehingga tamat perlawanan walaupun dia kelihatan letih.

"Dia sentiasa menghasilkan gol atau bantuan," tambahnya.

Keputusan perlawanan itu memastikan Barca ke pusingan 16 manakala Inter kini dalam perebutan hebat bersama Spurs yang kini hanya tiga mata di belakang mereka.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di Wembley, hujung bulan ini.