Pemain tengah Tottenham Hotspur, Christian Eriksen, hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Milan tetapi Giuseppe Marotta menegaskan tiada perbincangan di antara dua kelab itu.

Kontrak Eriksen di Spurs bakal tamat hujung musim ini tetapi Inter dilaporkan bersedia untuk membayar GBP20 juta (RM108 juta) bagi mendapatkan khidmatnya bulan ini.

Pemain Barcelona, Arturo Vidal, juga difahamkan menjadi sasaran Nerazurri dan ketua eksekutif kelab itu, Marotta, mengesahkan mereka sememangnya mahu menambah pemain tengah dan sayap dalam jendela perpindahan bulan ini.

Namun, Marotta menafikan Inter sedang dalam perbincangan dengan Spurs untuk mendapatkan bintang Denmark itu.

"Inter sering dikaitkan dengan pemain berkualiti tinggi dan ia menggembirakan tetapi kami tidak menghubungi Tottenham," katanya.

"Eriksen adalah pemain berbakat, saya tidak perlu jelaskannya kepada anda dan dia akan bergelar ejen bebas Jun depan.

"Saya fikir banyak kelab berminat, dia pemain yang menarik tetapi saya tidak akan berdiri di sini dan memberitahu anda bahawa kami sedang berbincang dengan kelab atau ejennya."

Apabila ditanya tentang Vidal, Marotta berkata: "Kami melalui beberapa perbincangan dengan ejen dan kelab untuk meningkatkan kualiti pasukan.

"Kami masih belum menemui penyelesaian memandangkan kami mahu menghadapinya dengan tenang serta melakukan keputusan tepat walaupun sekiranya tidak mendapatkan sebarang pemain.

"Saya lebih suka untuk tidak menyebut mana-mana nama tetapi kami sangat aktif dalam jendela perpindahan. Siapa yang kami raih, ia bergantung kepada siapa yang keluar.

"Ketika ini, kami mencari pemain tengah dan sayap. Jika pemain meminta untuk keluar, kami akan cuba menggembirakannya tetapi setakat ini, kami masih belum menerima tekanan sebegitu daripada pemain."



Editor: Nafis Abdullah