INTER 1 PSV 1

Luciano Spalletti berkata ketegangan dan kegugupan menyelubungi permainan Inter selepas kelab Itali itu tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) ekoran keputusan seri dengan PSV.


Jaringan penyamaan penyerang, Mauro Icardi, menyaksikan Inter melakar keputusan seri 1-1 di PSV awal pagi tadi, namun ia belum cukup untuk Inter memintas kedudukan Barcelona dan Tottenham di dalam Kumpulan B.

Inter memburu keputusan perlawanan yang lebih baik berbanding pertemuan Tottenham dengan Barcelona untuk layak ke pusingan 16, namun anak buah Spalletti tergelincir ke saingan Liga Eropah selepas Spurs merakamkan gol lewat permainan di Camp Nou untuk seri 1-1.

Pengurus Inter, Spalletti, kecewa dengan apa yang berlaku di San Siro dengan memberitahu Sky Sport Italia: "Kami tidak mampu untuk bersikap tenang sungguhpun menyedari peluang masih lagi terbuka. Kami membuat hantaran jauh, secara taktikalnya tidak teratur dan PSV diberi ruang untuk melancarkan beberapa serangan balas berbahaya.

"Apabila kegugupan semakin meningkat, kami mula kehilangan cengkaman dalam permainan dan segalanya mula serba tidak menjadi. Kami berpeluang untuk mencetak gol tetapi itu bukanlah sikap yang tepat yang kami perlukan pada saat itu.

"Setiap pasukan tidak mungkin mampu mengalahkan sesiapa sahaja. Ini bergantung kepada tahap psikologi kami dan kami perlu mengekalkan keseimbangan permainan, namun kami menjadi terlalu gementar selepas ketinggalan jaringan.

"Apabila peminat mulai bersorak, pemain melihat di sekeliling mereka untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.

"Pihak Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) bertanya sama ada saya mahu mengetahui keputusan di tempat lain melalui skrin gergasi, jadi saya katakan ya. Sebuah pasukan seperti Inter memerlukan kekuatan mental untuk menangani keadaan itu.

"Bukan seorang pemain sahaja yang boleh mengubah sikap keseluruhan pasukan, ia melibatkan gambaran yang lebih besar. Kami mesti melakukan segala-galanya bersama-sama kerana kami perlu bermain sebagai satu unit.

"Sangat mudah untuk menyorot kembali dan mengatakan ada detik-detiknya dalam perlawanan ini yang kami boleh melakukan sesuatu itu dengan lebih baik tetapi sekali lagi kami membiarkan ketegangan menguasai kami dan kami tidak mampu menanganinya dengan baik.

"Kami kecewa, sama seperti mana-mana kelab lain yang tersingkir dalam UCL," katanya.

PSV menamatkan saingan mereka di tempat tercorot dengan dua mata, namun pengurus, Mark van Bommel, berpendapat: "Saya fikir kami telah bermain dengan baik dalam enam perlawanan terakhir UCL ini.

"Kami telah berkembang sebagai sebuah pasukan.

"Beberapa pemain kami telah beraksi bersama pasukan kebangsaan, itulah manfaat terbesar musim ini: kami telah membuat kemajuan, kami meraih ganjaran sedikit demi sedikit."