Inter: Sanchez mungkin perlu dibedah 

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2019 245
 Inter: Sanchez mungkin perlu dibedah 
Alexis Sanchez mungkin memerlukan pembedahan selepas ditimpa kecederaan tendon buku lali dalam tugasan antarabangsa bersama Chile, demikan Inter mengesahkan perkembangan pemain itu. 

Pengurus Chile, Reinaldo Rueda, berpendapat bahawa Sanchez -- yang dipinjamkan ke Inter daripada Manchester United -- boleh kembali beraksi selepas "dua atau tiga bulan" ekoran kecederaan buku lali yang dialaminya dalam perlawanan persahabatan dengan Colombia, hujung minggu lalu.

Penggempur itu sekali lagi menjalani ujian kesihatan sejurus kembali ke Milan dan hasil pemeriksaan itu mengesahkan pergelangan kakinya terseliuh. 

"Sanchez telah menjalani ujian perubatan di Institut Humanitas di Rozzano, awal pagi ini," kata satu kenyataan daripada kelab itu. 

"Keputusan berkenaan mendedahkan pergelangan kaki kirinya terkehel sehingga menyebabkan kerosakan di bahagian tendon peroneus longus."

Sanchez bakal berkunjung ke Barcelona bagi  mendapatkan rawatan daripada Profesor Ramon Cugat, yang sering merawat pemain Manchester City yang tercedera seperti Benjamin Mendy dan Kevin De Bruyne, bagi menentukan adakah pembedahan sesuatu yang diperlukan.

Bekas bintang Arsenal tersebut telah membuat empat penampilan buat skuad kendalian Antonio Conte itu musim ini dengan menjaringkan satu gol dalam Serie A, namun dia kemudian dibuang padamg dalam perlawanan dengan Sampdoria. 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen