Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengumumkan bahawa pertemuan di antara Inter Milan dan Ludogorets dalam perlawanan kedua pusingan 32 Liga Europa akan diadakan secara tertutup di San Siro awal pagi Jumaat ini.

Keputusan itu diambil badan induk berkenaan berikutan kebimbangan wabak koronavirus yang menular di Itali -- dua mangsa dilaporkan meninggal dunia selain ramai yang disahkan positif.

Juara Bulgaria, Ludogorets, menuntut jaminan keselamatan daripada UEFA untuk bertandang ke Milan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Ia menyaksikan Inter, yang menang 2-0 dalam perlawanan pertama hasil gol Christian Eriksen dan Romelu Lukaku, akan beraksi tanpa kehadiran penyokong dalam perlawanan timbal balik itu.

"Terdahulu, kelab Milan menghantar surat kepada Ludogorets, mengumumkan bahawa pihak berkuasa kesihatan di bandar itu membenarkan perlawanan berkenaan diadakan tanpa penonton," kata satu kenyataan dalam laman web Ludogorets.

"Ibu pejabat Eropah itu memberitahu Ludogorets bahawa mereka akan menantikan keputusan pihak berkuasa perubatan di Milan.

"UEFA juga mengumumkan bahawa mereka sedang memantau keadaan di utara Itali dan akan bertindak segera jika terdapat sebarang perubahan."

Inter turut mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa perlawanan itu akan diadakan secara tertutup.

Pertemuan di antara Inter dan Sampdoria merupakan satu daripada empat perlawanan yang terpaksa ditunda kelmarin dan kunjungan mereka ke laman Juventus juga masih menjadi persoalan.

Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte, berkata kesemua perlawanan liga divisyen utama Itali, termasuk pertemuan terbesar itu di Turin itu, boleh dibatalkan kerana penularan virus dari China berkenaan.